Tiada kompromi isu halal dengan AS – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kompromi terhadap produk Amerika Syarikat (AS) untuk dibenarkan masuk tanpa perlu pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam rundingan tarif.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, semua produk AS yang memasuki pasaran negara perlu patuh piawaian halal ditetapkan agensi itu.

“Saya ingin menjelaskan dakwaan kononnya kerajaan mengkompromi piawaian halal untuk memenuhi permintaan AS adalah tidak benar sama sekali,” katanya seperti dilapor FMT.

Katanya lagi, apa dipersetujui dengan AS bertujuan memudahkan proses pengimportan daging halal ke Malaysia dengan proses berkenaan akan dikendalikan Agensi Peraturan Halal AS.

“Namun, semua produk diimport masih perlu mematuhi piawaian halal Malaysia ditetapkan Jakim. Sekiranya tidak memenuhi piawaian Jakim, produk berkenaan tidak akan dibenarkan masuk ke Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menafikan wujud perjanjian pembekalan eksklusif unsur nadir bumi kepada AS mahupun negara lain.

“Malah, tiada permintaan pun daripada pihak AS mengenai perkara itu,” katanya.

Semalam, The Straits Times melaporkan Malaysia mungkin mengiktiraf pensijilan halal AS dan membekalkan unsur nadir bumi kepada negara itu, sebagai usaha mengurangkan tarif eksport Malaysia.

Malaysia mempunyai lebih daripada 16 juta tan simpanan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dengan nilai komersial hampir RM1 trilion.

Eksport Malaysia ke AS mencapai paras tertinggi pada 2024, hampir RM200 bilion, menurut data Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

More From Author

Malaysia perlu masa teliti deklarasi tuntut Hamas letak senjata, tidak tadbir Gaza – Fahmi

WARISAN sahkan bertanding 73 kerusi DUN hadapi PRN17 Sabah