Lagi kes buli di MRSM, enam pelajar Tingkatan 5 digantung sekolah

KUALA LUMPUR: Lagi kes buli dilaporkan berlaku di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), kali ini di Melaka.

Kejadian didedahkan sendiri Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang turut memaklumkan, enam pelajar Tingkatan 5 terbabit dalam insiden itu sudah digantung dan dicadang untuk dibuang.

“Pagi-pagi lagi ramai tag perihal insiden buli yang berlaku di salah sebuah MRSM di Melaka. Terus saya minta laporan dari pengurusan MARA. 6 pelajar T5 terlibat buli digantung dan dicadang untuk dibuang. Tak perlu merayu. #YouTouchYouGo,” catatnya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Asyraf Wajdi menambah, beliau sudah menegaskan kepada pihak pengurusan MARA supaya tidak melayan sebarang rayuan.

“Bahkan tidak perlu juga bersusah payah nak berjumpa saya untuk merayu. Sudah banyak kali diperingatkan bahawa MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk BULI.

“Yang kita nak lahirkan generasi pemimpin berakhlak dan beradab bukan petualang yang meranapkan nilai keagamaan dan ketamadunan. Saya berazam menjadikan MRSM dan Institusi-institusi Pendidikan MARA sebagai zon Bebas BULI, insya-Allah,” tulisnya lagi.

Bulan lalu, seorang pelajar Tingkatan Dua MRSM di Besut mendakwa dibuli sekumpulan pelajar senior di asrama sehingga cedera di perut, rusuk dan belakang badan.

Mangsa berusia 14 tahun mendakwa dibuli dengan diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung dan diletakkan selipar di atas kepala selama 40 minit, pada kira-kira jam 11.30 malam. Enam pelajar yang didapati terbabit kes itu sudah pun dibuang serta merta.

Terdahulu pada April, media melaporkan polis mengesahkan video berdurasi satu minit 31 saat yang tular di media sosial, memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama, berlaku di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan pada pertengahan tahun lalu.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. – BH

More From Author

Duta Besar Malaysia ke AS ikrar perkukuh hubungan dua hala

63 lokasi rekod bacaan IPU sederhana