Ranhill SAJ anjur solat istisqa, mohon hujan kurangkan kesan ammonia

JOHOR BAHRU: Ranhill SAJ Sdn. Bhd., menganjurkan solat Istisqa bagi memohon hujan bagi memulihkan tahap pencemaran ammonia di kawasan tadahan yang membekalkan sumber air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani berkata, solat sunat itu merupakan salah satu ikhtiar bagi mengurangkan kesan pencemaran ammonia yang menjejaskan kira-kira 40,000 akaun pengguna di Johor Bahru dan Skudai, kelmarin.

“Pencemaran ammonia di sungai yang menjadi sumber bekalan air mentah kepada loji tersebut merupakan isu serius yang boleh memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia. 

“Jika kepekatan ammonia tinggi, ia boleh mencemarkan air sungai dan menjadikannya berbahaya untuk digunakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari.

Antara punca pencemaran ammonia adalah daripada sisa kumbahan, sisa industri serta aktiviti pertanian yang tidak dikawal dan pihaknya akan bekerjasama dengan agens berkaitan bagi mengenal pasti punca serta mengambil langkah mitigasi.

“Sejak Rabu lalu, hampir 40,000 akaun pengguna terjejas disebabkan kandungan ammonia melebihi piawaian selamat, menyebabkan sumber air mentah di loji itu tidak dapat diproses.

“Walau bagaimanapun, langkah proaktif menangani insiden tersebut telah dilaksanakan, sekali gus membolehkan jumlah akaun pengguna terjejas diturunkan kurang 1,000,” katanya.

Solat istisqa yang diadakan di loji berkenaan dipimpin Guru Takmir Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Mohd. Zunnurain Abdul Khohar dan disertai kakitangan syarikat itu serta masyarakat setempat.

More From Author

Tahanan Palestin dipaksa minum arak, disimbah air mendidih di penjara Israel – NGO

Duta Besar Malaysia ke AS ikrar perkukuh hubungan dua hala