Kembalikan 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor – Tunku Mahkota Ismail

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya 25 peratus hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula kepada negeri ini bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dapat ditangani lebih berkesan tanpa terlalu bergantung Kerajaan Persekutuan.

Pemangku Sultan Johor bertitah demikian susulan beberapa kelewatan mutakhir ini termasuk isu pembukaan Hospital Pasir Gudang, gangguan sistem autogate di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), serta kelewatan projek tebatan banjir negeri ini.

“Saya baru dimaklumkan mengenai kelewatan pembukaan Hospital Pasir Gudang yang sepatutnya dibuka secara berfasa bermula Ogos ini dan kecewa kerana ia telah ditangguhkan ke Januari 2026.

“Berikutan kelemahan-kelemahan baru-baru ini yang berlaku seperti isu gangguan sistem autogate di BSI dan KSAB, hospital, projek tebatan banjir dan sebagainya, ingin saya sampaikan kepada rakyat Johor betapa pentingnya cukai hasil pendapatan Johor harus dipulangkan sebanyak 25 peratus kepada negeri ini.

“Menerusi pulangan cukai itu, Johor akan mempunyai keupayaan kewangan sendiri untuk membiayai keperluan penting rakyat tanpa perlu membuat permohonan berulang kali kepada Kerajaan Persekutuan dan menunggu lama untuk kelulusan.

“Apabila hasil cukai pendapatan Johor sebanyak 25 peratus diberikan semula kepada Johor, bermakna negeri ini boleh berdiri dengan kaki sendiri,” titah baginda melalui kenyataan dimuat naik di Facebook, malam ini.

Tahun lalu, Pemangku Sultan Johor pernah membangkitkan isu sama apabila baginda dilaporkan meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbang untuk memberi balik 20 hingga 30 peratus hasil cukai yang dikutip dari Johor.

Baginda dilaporkan bertitah, pada masa ini kerajaan Johor memberikan antara RM48 bilion hingga RM49 bilion setahun cukai negeri kepada Kerajaan Persekutuan, namun jumlah yang dipulangkan semula kepada negeri ini hanya RM1.4 bilion.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan rasa kecewa dengan kelewatan demi kelewatan projek perkhidmatan awam di negeri ini, yang akhirnya membebankan rakyat dan mengganggu kelangsungan sistem kesihatan serta perkhidmatan penting lain.

Titah baginda, perkara itu dilihat sebagai isyarat jelas kepada Kerajaan Persekutuan untuk meneliti semula agihan hasil negara, khususnya membabitkan Johor antara penyumbang utama kepada pendapatan negara. – BH

More From Author

Beli jet peribadi, Aliff Syukri janji cerita semua Jumaat ini

Ismanira syak Zayn Rayyan dicekup dan dilarikan orang