KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky mahu semua pemain segera melupakan kekecewaan di Terbuka Jepun dan kembali fokus menghadapi cabaran lebih besar di Terbuka China yang bermula Selasa ini.
Menurut Rexy, secara keseluruhan, prestasi ditampilkan barisan beregu negara di Jepun menunjukkan peningkatan, namun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki segera.
“Pencapaian semua okay. Cuma Aaron Chia-Soh Wooi Yik bermula terlalu perlahan (ketika menentang Ong Yew Sin-Teo Ee Yi) di pusingan pertama,” katanya kepada BH Sukan.
Dalam aksi di Gimnasium Metropolitan Tokyo itu, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan sebagai pilihan kedua tewas mengejut kepada rakan senegara 15-21, 15-21.
Rexy turut mengingatkan satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun agar tampil lebih yakin berdepan pasangan ranking lebih tinggi selepas mereka terkandas di suku akhir menentang beregu nombor tiga dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
“Mereka perlu lebih kuat dan teguh untuk berdepan pasangan utama dunia,” katanya.
Sementara itu, bagi dua beregu wanita muda negara, Ong Xin Yee-Carmen Ting serta Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang tewas di pusingan pertama, Rexy mahu mereka menanam keyakinan lebih tinggi apabila beraksi menentang lawan ranking yang lebih tinggi.
Xin Yee-Carmen tewas kepada pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi manakala Pei Kee-Mei Xing tunduk kepada pilihan utama Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.
“Dua beregu wanita pelapis kita ada menunjukkan peningkatan, cuma perlu lebih percaya diri bila lawan pasangan ranking lebih tinggi,” katanya.
Bagi beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tewas di pusingan kedua kepada pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, Rexy menegaskan mereka perlu segera mengembalikan momentum seperti ketika awal digandingkan.
Terbuka Jepun menyaksikan pencapaian terbaik skuad kebangsaan hadir menerusi beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah yang muncul naib juara, manakala beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terkandas di separuh akhir. – BH
