SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap iklan berkaitan e-rokok selepas tempoh diberikan kepada peniaga atau penjual rokok berkenaan berakhir.
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, sebelum ini arahan penurunan iklan atau papan tanda berkaitan e-rokok itu dikeluarkan EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar.
“Kita telah beri tempoh tertentu kepada peniaga dan pengusaha e-rokok untuk menurunkan papan tanda mereka. Jika selepas itu masih ada yang ingkar, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diarah menjalankan penguatkuasaan termasuk menyaman.
“Kita ambil pendekatan lebih mesra dan tidak drastik. Tapi kalau masa dah sampai kena ada penguatkuasaan.
“Saya akan rujuk YB Jamaliah Jamaluddin (EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar) berhubung tempoh masa bagi penurunan iklan e-rokok kerana PBT hanya membuat penguatkuasaan… dalam konteks ini kita bekerjasama,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri faham keadaan ekonomi dan pelbagai perniagaan berhadapan detik sukar ketika ini, justeru memberi peluang kepada pengusaha menurunkan sendiri iklan-iklan tersebut.
“Kalau ada yang degil, saman akan dikenakan dan kos pelaksanaan penguatkuasaan (penurunan papan iklan dan sebagainya) mungkin akan dituntut kepada peniaga,” katanya.
Media Mei lalu melaporkan, semua PBT di Selangor diarah menyita iklan memaparkan rokok elektronik atau vape di seluruh negeri, dengan negeri ini dalam proses pertimbangan untuk melarang penjualannya. – BH
