BANTING: Setakat ini hanya seorang warga Malaysia disahkan terkorban dalam tragedi kapal karam KMP Tunu Pratama Jaya yang karam di perairan Pulau Bali 2 Julai lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata bagaimanapun usaha mencari dan menyelamat masih dilakukan pihak berkuasa Indonesia.
“Saya difahamkan seorang rakyat Malaysia terlibat (terkorban) dan sudah disempurnakan (dikebumikan).
“Setakat ini tidak ada lagi (jumlah mangsa baharu babitkan warganegara) tetapi usaha untuk mencari masih dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Sri Jugra, Banting, dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, mana-mana jabatan yang berkenaan boleh menyalurkan bantuan berkaitan dalam memudahkan urusan keluarga mangsa.
Terdahulu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Langat yang dihadiri 460 perwakilan daripada 90 cawangan.
Media melaporkan jenazah Fauzey Awang, 55, rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi feri itu selamat dikebumikan di Jawa Timur pada malam Jumaat, memenuhi hasrat terakhirnya untuk disemadikan berhampiran makam gurunya dan berdekatan dengan isterinya di Indonesia.
Berasal dari Terengganu, Fauzey dilaporkan sering berulang-alik ke Indonesia setiap tiga bulan untuk bertemu isterinya.
Feri yang dinaikinya membawa 65 penumpang dan 22 kenderaan sebelum ia karam di perairan Selat Bali pada malam 2 Julai, kira-kira 30 minit selepas berlepas dari Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi menuju ke Bali.
Setakat Jumaat, seramai 47 orang dikenal pasti, membabitkan 30 mangsa terselamat dan 17 terkorban.
Beberapa orang lagi masih hilang, ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan. – BH
