KUALA LUMPUR: Selaku jenama makanan haiwan peliharaan paling aktif dalam berinovasi, Pet World Nutritions mahu terus menguasai pasaran Malaysia seperti mana dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya, Choy Peng Yew berkata, Pet World Nutritions juga sudah bertapak kukuh di 15 buah negara khususnya di Asia Tenggara selain berjaya menempusi pasaran India, Pakistan dan Bangladesh.

Jelas beliau, pasaran makanan haiwan peliharaan sangat besar khususnya di Asia Tenggara dengan nilai RM6 bilion, di mana syarikatnya menguasai 37 peratus bagi segmen makanan anjing dan 17 peratus untuk kucing.
“Lebih baik fokus di mana kedudukan kami dan menjadi juara di pasaran tempatan, berbanding keluar untuk bersaing bersama pengeluar di Amerika Syarikat atau Eropah.
“Buat masa sekarang harga kami mengikut kilogram masih lagi murah berbanding jenama lain. Kenapa? Ini kerana kami adalah syarikat tempatan yang mahu menjadi juara di sini dan menyokong pengguna Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen ‘Only The Best For Your Furry Friends’ yang turut disertai oleh duta mereka iaitu selebriti terkenal Dr Soo Wincci.
Syarikat yang mengamalkan pendekatan suci dan segar dalam setiap penghasilan itu kini mempunyai lima produk paling dikenali iaitu ProDiet®, ProBalance®, Delizios®, Le Gourmets dan SIMPLE®.
Pada masa sama, Peng Yew berkata, tahun ini juga pihaknya menyasarkan dua perkara untuk diselesaikan iaitu pelancaran produk berasaskan daging segar dan pembinaan taman kucing.
“Kita akan lancar (produk) daging segar untuk Malaysia, seperti mana dipaparkan di video. (Produk) ini membawa kami selangkah ke hadapan (menghasilkan) makanan untuk manusia.
“Pada masa sama, kami sekarang sibuk dengan taman kucing di mana kita buat pusat kajian. Konsep ini akan siap pertengahan tahun hadapan,” katanya lagi. – MN
