Tular cabut kunci motosikal pelajar, polis sahkan anggota sedang bertugas

MERSING: Polis mengesahkan individu yang bertindak mencabut dan mematikan suis sebuah motosikal yang dinaiki dua remaja dalam video tular pada Sabtu, merupakan seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintenden Mohd Hasrudi Mohd Zain berkata, kejadian berlaku berhampiran lampu isyarat berdekatan Sekolah Kebangsaan Bandar Endau, Mersing.

“Anggota polis terbabit cuba membuat pemeriksaan terhadap motosikal yang dinaiki dua lelaki dipercayai pelajar sekolah kerana motosikal tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran, selain dipercayai telah diubah suai dan mengeluarkan bunyi ekzos bising.

“Anggota polis ketika kejadian sedang bertugas dan menjalankan pemeriksaan berdasarkan kesalahan yang jelas pada kenderaan berkenaan.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 58(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 24(1)(b) Akta Polis 1967,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau turut menegaskan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 13 saat memaparkan tindakan seorang lelaki cuba menarik kunci motosikal dinaiki dua pelajar sekolah, namun tidak berjaya kerana sempat dielak. – Sinar Harian

More From Author

Video palsu, Acryl Sani nafi terima bantuan kewangan daripada ‘Datuk’

AS serang Iran, gugurkan bom di tiga kemudahan nuklear Teheran