KYPJ jadi tuan rumah Karnival SUKSES 4.0, berlangsung meriah

KOTA TINGGI: Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) menerusi institusi pendidikannya, Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) dan Kolej Kemahiran Johor (KKJ) menjadi tuan rumah bagi Karnival Pendidikan Kerjaya Murid SUKSES 4.0 Peringkat Negeri Johor 2025 yang berlangsung selama dua hari yang berakhir semalam.

Karnival anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) ini merupakan platform strategik untuk memperkasakan pendidikan dan kerjaya dalam kalangan pelajar, khususnya lepasan SPM dan STPM di seluruh negeri Johor.

Penganjuran itu selari dengan aspirasi KPYPJ dalam mendukung agenda pendidikan negeri serta memperkukuhkan kerjasama dengan agensi kerajaan dalam memperluas akses kepada maklumat pendidikan tinggi dan laluan kerjaya.

Sebagai institusi pendidikan tinggi swasta milik penuh kerajaan negeri Johor, KYPJ dan KKJ sentiasa menyokong inisiatif sebegini yang memberi impak langsung kepada perancangan masa depan pelajar.

Sepanjang dua hari karnival ini, pelbagai aktiviti menarik telah berlangsung, termasuk pameran oleh institusi pengajian tinggi, sekolah khusus, kolej vokasional, agensi kerajaan, aktiviti inventori minat kerjaya, kuiz pendidikan, sesi bimbingan serta lawatan kampus KYPJ.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Mohd. Fahmi Salam, penganjuran karnival seperti itu yang juga disokong oleh JTDC memberi peluang besar kepada pelajar untuk meneroka pilihan pengajian yang selari dengan minat dan potensi diri masing-masing.

“Malah, ia turut memperlihatkan kesediaan institusi pendidikan negeri Johor untuk tampil lebih proaktif dalam mendekati komuniti pelajar secara langsung. Institusi di bawah KPYPJ selain KYPJ yang turut bersama ialah Kolej kemahiran Johor yang hadir memberi sokongan dan peluang belajar dalam bidang TVET.

“KYPJ berasa bangga dapat memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada JPNJ dalam menjayakan karnival ini. Kami percaya bahawa akses kepada maklumat yang tepat dan bimbingan kerjaya yang bersesuaian merupakan antara kunci utama dalam membentuk hala tuju pelajar yang lebih terancang,” katanya.

Karnival tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.

KPYPJ merakamkan turut setinggi-tinggi penghargaan kepada JPNJ atas kepercayaan yang diberikan serta semua pihak yang menjayakan program tersebut termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan dan para pengunjung yang hadir memeriahkan karnival.

More From Author

Bagus juga Rafizi, KJ, Syed Saddiq bergabung dalam parti baharu – Puad

Mohd Khalid dilantik Ketua Polis Negara baharu