Kerajaan rangka dasar wajibkan ‘speed limiter’ pada kenderaan berat – Loke

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka dasar baharu termasuk mewajibkan ‘speed limiter’ pada kenderaan berat dalam usaha mengelak tragedi malang berulang kembali.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dasar tersebut sedang diteliti secara menyeluruh, termasuk mekanisme bagi menutup sebarang ruang manipulasi apabila ia dikuatkuasakan kelak.

“Kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya.

“Kami komited untuk melindungi pengguna jalan raya, terutamanya daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab dan kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Semalam, 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Tragedi itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas, selain pemandu serta tiga penumpang MPV jenis Perodua Alza. – MN

More From Author

Saya minta maaf, brek tak berfungsi – Pemandu bas

Peniaga martabak jual rumah demi capai impian 25 tahun jadi tetamu Allah