Pasangan Pak Belang ‘berziarah’, Orang Asli kerakuta

KOTA TINGGI: Masyarakat Orang Asli di Kampung Sayong Pinang dan Pasir Intan, dekat sini bimbang ketakutan susulan penemuan kesan tapak kaki harimau berhampiran perkampungan mereka.

Berdasarkan kesan tapak kaki di beberapa kawasan termasuk jalan pintas di sempadan kedua-dua perkampungan itu petang kelmarin, mereka percaya harimau itu merupakan pasangan jantan dan betina.

Tok Batin Kampung Sayong Pinang, Majid Jantan dan beberapa penduduk terus ke lokasi penemuan kesan tapak kaki itu bagi memantau situasi sebaik sahaja dimaklumkan tentabg perkara itu.

“Berdasarkan kesan tapak kaki yang ada dua saiz itu, kita percaya ia pasangan harimau jantan dan betina dewasa.

“Ini bukan kali pertama penduduk jumpa kesan tapak kaki harimau, tapi pada tahun ini, ia yang pertama.

“Orang kampung memang bimbang sebab dekat dengan kawasan kampung. Kita sudah ingatkan supaya lebih berhati-hati semasa pergi kebun kelapa sawit, menoreh atau merawai ikan,”:katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi penduduk, Shukri Talib memberitahu, saiz kesan tapak kaki itu berukuran lima dan empat inci.

“Mulanya, kita jumpa kesan tapak haiwan itu macam seekor saja. Tapi bila kita jalan jauh sikit, jumpa lokasi kedua, kita nampak ada dua kesan tapak kaki yang berbeza saiz.

“Saiz yang pertama tu lima inci, saiz kedua empat inci. Kalau tengok pada saiz itu, kedua-dua haiwan dewasa, mungkin pasangan jantan dan betina,” katanya sambil berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera mengambil langkah bersesuaian sama ada memasang kamera atau perangkap demi keselamatan penduduk.

Seorang lagi penduduk, Kanang Abu terus memecut motosikal ditunggangnya ketika mendengar ngauman kuat Pak Belang berkenaan dari arah belukar berhampiran semasa melalui jalan pintas menuju ke Kampung Pasir Intan petang semalam.

“Kira-kira jam 4 petang semalam saya naik motosikal untuk ambil anak di Kampung Pasir Intan. Semasa saya tengah lalu, saya dengar suara ngauman harimau yang kuat.

“Kerana takut, saya terus pecut pergi. Masa balik, saya tak lalu jalan ni, saya ikut jalan utama,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib yang kebetulan melakukan ziarah kasih di kawasan berhampiran turut singgah meninjau kesan tapak kaki Pak Belang berkenaan.

Sebaik sahaja mengetahui perkara itu, beliau terus memaklumkan kepada pihak Perhilitan dan meminta tindakan segera diambil demi menjaga keselamatan penduduk.

Beliau turut menasihatkan warga kedua-dua kampung tersebut supaya lebih berhati-hati semasa melakukan kerja harian mereka.

“Bagi saya yang tak berapa faham sangat tentang hutan rimba ni, tunggulah mungkin dua tiga minggu sampai lega di sini, barulah boleh merawai semula. Saya mohon supaya pihak Perhiliran pasang kamera supaya kita boleh kesan laluan pergerakan haiwan ini. Jadi, dengan itu kita boleh mempertingkatkan lagi langkah pencegahan,” katanya. – MAJESTIC

More From Author

8 ADUN BN, 2 PN dilantik Exco N9

PRN Melaka: BN masih buka ruang rundingan agihan kerusi