JOHOR BAHRU: Dua ahli sindiket pengedaran dadah ditahan dan dadah seberat 96.76 kilogram bernilai RM8.49 juta dirampas dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Masai dan Taman Ehsan Jaya, 5 Ogos lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, serbuan pertama berjaya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun
di pangsapuri yang disewakan dan merampas dadah seberat 96.76 kilogram bernilai RM8.49 juta.
“Polis merampas pil erimin 5 dengan anggaran berat 41.74 kilogram (kg) bernilai RM4.174 juta, 53,000 biji pil ekstasi seberat 23.11 kg bernilai RM3.47 juta, 290 paket plastik disyaki serbuk ekstasi bernilai RM87,000, 13 paket plastik disyaki ketamin bernilai RM590,000 dan dua paket berisi serbuk MDMA bernilai RM178,500.
“Polis turut menyita empat buah kereta, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM100,000 yang menyaksikan nilan rampasan dan sitaan keseluruhan berjumlah RM9.44 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.
Ab. Rahaman berkata, serbuan kedua pula menahan lelaki berusia 34 tahun dilakukan di Taman Ehsan Jaya namun tidak menemukan sebarang dadah.
Siasatan mendapati, suspek pertama berperanan sebagai penjaga stor manakala suspek kedua dipercayai pembantu kepada dalang yang membayar gaji suspek utama.
“Modus operandi sindiket ini menjadikan pangsapuri berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya.
Menurutnya, jumlah dadah yang dirampas mampu merosakkan sekitar 392,098 penagih.
Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MAJESTIC
