JOHOR BAHRU: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khaled menuntut bekas Speaker Deean Undangan Negeri (DUN)Johor, Datuk Dr. Puad Zarkashi memohon maaf dan menurunkan hantaran dalam Facebook miliknya yang didakwa memfitnah beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah itu menjelaskan, tuntutan tersebut berhubung dakwaan Puad bahawa berhubung isu tatakelola, kronisme serta siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) pada 26 Mac lalu.
“Saya berasa amat sedih dan berdukacita
kerana tanpa usul periksa Datuk Dr. Puad mengaitkan saya selaku Exco Agama Negeri Johor dalam dakwaan tersebut.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa dakwaan yang mengaitkan saya tersebut adalah satu tohmahan jahat dan fitnah yang tidak bertanggungjawab oleh Datuk Dr Puad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskab langsung tidak terlibat dalam sebarang siasatan yang dijalankan pihak SPRM seperti yang didakwa berlaku.
Malah, beliau juga sudah melepasi saringan SPRM sebelum dipilih semula bertanding sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
“Saya percaya Datuk Dr. Puad beriman kepada ayat Al-Quran yang memerintahkan kita selaku orang-orang yang beriman agar membuat semakan dan penyelidikan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menghukum pihak lain yang tidak bersalah.
“Atau mungkin Datuk Dr Puad tidak sedar bahawa perlakuan sebegini adalah zalim kepada pihak lain dan dalam perkara ini pihak itu ialah saya sendiri.
“Atas nasihat ini, saya mengajak, saya menasihat dan saya menuntut kepada Datuk Dr Puad agar menarik balik tohmahan jahat dan fitnah yang telah dilemparkan ke atas saya berhubung kenyataan dalam ‘posting’ tersebut,” katanya.
Beliau menuntut agar penarikan balik kenyataan tersebut beserta permohonan maaf dan menurunkan hantaran tersebut dibuat dalam tempoh 24 jam dari tarikh dan waktu kenyataan ini dikeluarkan.
Tegasnya, permohonan maaf perlu dibuat secara rasmi dalam semua platform media agar dapat dibaca dan difahami awam akan niat dan maksudnya.
“Kegagalan Datuk Dr Puad berbuat demikian, satu prosiding guaman saman fitnah akan saya mulakan terhadap Datuk Dr Puad bagi membersihkan nama baik saya daripada tohmahan jahat dan fitnah tidak bertanggungjawab tersebut.
“Saya amat yakin dan percaya atas wibawa dalam diri Datuk Dr Puad, perkara ini dapat diselesaikan dengan penuh ukhwah dan maslahah bersama.
“Biarlah ia menjadi contoh terbaik sekalipun usia mungkin membezakan kita, agar adab dan akhlak sebagai umat Islam dapat diperlihatkan,” tambahnya.- MAJESTIC
