JOHOR BAHRU: Parti Progresif Penduduk (PPP) berhasrat bertanding dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Presidennya, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, hasrat itu sudah disampaikan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) ohor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam.
“Walau apa pun kita serahkan kepada Onn Hafiz dan sokongan tidak berbelah bahagi akan terus diberikan kepada BN walaupun tidak berjaya mendapatkan dua kerusi DUN untuk ditandingi itu.
“Memang kita ada berbincang dengan BN dna kita juga berharap akan dapatlah perhatian BN,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PPP Keenam di Hotel Amari di sini hari ini.
Sekiranya BN Johor tidak sempat untuk melakukan agihan kerusi untuk PPP, pihaknya tidak akan membuat tuntutan dan tetap membantu BN.
“Kita faham kalau sudah kesuntukan masa, kita tidak akan buat ‘demand’, kalau BN rasa kali ini bukanlah masanya, kita tetap beri keyakinan, kita akan bantu mereka untuk menangkan BN.
“Kita minta dua kerusi, tetapi kita tidak akan ‘pressure’ beliau (Onn Hafiz), kita berserahlah, tengok macam mana beliau agihkan, beri ruang untuk beliau buat keputusan.
“(Jika tidak dapat kerusi) Kita tidak akan jadi budak-budak, nak merajuk ke, tidak, sebab kepentingan dan keutamaan kita adalah rakyat yang sudah rasa tertekan sekarang,” katanya. – MAJESTIC
