Onn Hafiz akui jadi ‘poster boy’

JOHOR BAHRU: Datuk Onn Hafiz Ghazi mengakui akan menjadi ‘poster boy’ semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Namun, beliau menegaskan belum tentu akan dilantik semula sebagai Menteri Besar Johor kerana itu bergantung atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

“Sebagai Menteri Besar saya akan dilihat sebagai ‘poster boy’, its very natural. Tapi kita jelas bahawa apa pun keadaan yang akan menentukan siapa Menteri Besar ialah Sultan Johor atau Pemangku Sultan Johor. Perkenan Istana Johor sangat penting,” katanya dalam temuramah bersama-sama media Johor di kediaman rasminya di Saujana, di sini.

Beliau berkata, Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Ismail bertitah agar semua pihak menjaga adab serta tertib sepanjang berlangsungnya PRN Johor.

Menteri Besar Johor berkata, pesanan itu disampaikan ketika beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong dan Pemangku Sultan Johor, supaya cara berpolitik Johor yang mengutamakan kematangan dan rasa hormat antara satu sama lain terus diamalkan.

Onn Hafiz berkata, cara berpolitik Johor yang menggunakan kaedah sederhana dan tidak melampau itu bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah menjadi amalan termasuk pada Sidang Dewan Undangan Negeri Johor (DUN).

“Ini bukannya sesuatu yang baharu. Sebab kalau kita tengok dalam Sidang DUN, walaupun orang kata ia yang paling membosankan di dunia, tapi hakikatnya ia sangat baik diuruskan.

“Kita masih boleh mengutarakan pendapat kita. Tapi tidak melalui pertandingan menjerit. Tidak ada kerusi yang melayang. Tidak ada caci maki, maki hamun,” katanya.

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala 27 Jun ditetapkan sebagai hari penamaan calon dan pengundian awal pada 7 Julai.- MAJESTIC

More From Author

Saya silap, saya tarik balik kenyataan – Arthur

Kerajaan Persekutuan yang bocorkan Johor – Tunku Ismail