Seorang dikhuatiri lemas, dua lagi selamat

KOTA TINGGI: Dua beradik lelaki berjaya diselamatkan nelayan dan pengubjung, namun sepupu mereka masih hilang kerana dibawa ombak ketika mandi di pantai Tanjung Buloh, Sedili Kecil, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, ketiga-tiga mangsa berkunjung ke pantai tersebut bersama-sama ahli keluarga yang lain.

“Semasa kejadian, tiga-tiga mangsa sedang mandi sebelum dihanyutkan arus air laut yang deras, dua daripada mereka iaitu adik beradik berusia 11 dan 16 tahun berjaya diselamatkan.

“Usaha mengesan seorang lagi sepupu sedang dilaksanakan melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk polis, bomba serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pihaknya turut menasihati orang awam yang mengunjungi kawasan pantai agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

Terdahulu, Komander Operasi dari Balai Bomba Penawar, Pegawai Bomba Kanan I Mohammad Hashim Ismail berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan berhubung perkara itu pukul 1.17 petang.

“Mangsa yang selamat dikenalpasti sebagai Arman Hanif, 11, dan Mohamad Soleh Hazriq Mokhtar, 16, manakala mangsa yang masih hilang dikenalpasti sebagai Putra Aniq Fairuz Mohd. Faizul, 11,” katanya.- Majestic

More From Author

Pengarah didakwa salah guna harta syarikat

Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor cedera kemalangan