JOHOR BAHRU: Akibat tertekan pedal minyak, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita merempuh seorang wanita dan dua anaknya di Dataran Pasir Gudang di sini malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 9.45 malam dan insiden itu tular dalam media sosial.
“Kemalangan melibatkan seorang wanita berusia 25 tahun bersama-sama dua anak perempuannya berusia empat dan tujuh tahun.
“Siasatan mendapati ketika kejadian, semua mangsa berada di hadapan kereta milik ahli keluarga.
“Pemandu kereta iaitu seorang wanita berusia 28 tahun yang merupakan saudara kepada mangsa telah menghidupkan enjin kereta dan secara tidak sengaja tertekan pedal minyak” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keadaan tersebut menyebabkan kereta itu bergerak ke hadapan dan terlanggar mangsa.
Katanya, akibat kemalangan tersebut ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk rawatan lanjut.
Jelasnya, semua mangsa kemudian dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama setelah dirawat.
Tambahnya, siasatan dijalankan bawah Peraturan 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.- Majestic
