PONTIAN: Dua pekerja maut tertimbus, manakala seorang terselamat dalam kejadian runtuhan kren yang mengangkat arang batu di Malakoff Power Plant, Jalan Tanjung Bin, Kukup di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazri Ahmad Shahidon berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian tersebut pukul 1.01 petang.
Seramai 15 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Runtuhan kren yang mengangkat arang batu berlaku berlaku dan tiga mangsa terperangkap bawah runtuhan tersebut.
Runtuhan itu juga menyebabkan kebakaran kecil dan berjaya dikawal pasukan ERT Malakoff dan bomba turut bantu kerja-kerja pemadaman di kawasan loji janakuasa itu.
“Seorang mangsa berjaya dikeluarkan dalam keadaan sedar dan mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Daerah Pontian menggunakan EMRS BBP Pontian Baru,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Nazri berkata, seorang lagi mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa ketiga katanya, berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 3 petang dan turut disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.- Majestic
