BUENOS AIRES: Argentina terpaksa beraksi tanpa tiga tonggak dari Atletico Madrid, Julian Alvarez, Nahuel Molina dan Giuliano Simeone pada aksi persahabatan menentang Angola, Jumaat ini selepas mereka gagal melengkapkan prosedur berkaitan vaksin demam kuning.
Persekutuan Bola Sepak Argentina (AFA) dalam satu kenyataan memaklumkan ketiga-tiga pemain itu tidak sempat menyiapkan keperluan kesihatan yang menjadi syarat wajib untuk memasuki negara Afrika berkenaan.
“Pemain berkenaan tidak sempat melengkapkan prosedur kesihatan berkaitan vaksin demam kuning yang diwajibkan untuk masuk ke Angola,” kata AFA dalam kenyataan rasmi.
Demam kuning ialah penyakit bawaan nyamuk yang lazim ditemui di beberapa kawasan di Afrika dan Amerika Selatan, dan pelancong ke rantau terbabit perlu mendapatkan vaksin bagi mengelakkan jangkitan.
Juara dunia Argentina yang sudah pun menjamin tempat ke Piala Dunia tahun depan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dijadual berdepan Angola di Lucanda. – REUTERS
