‘Suami saya ditembak 18 das sampai habis peluru’

PASIR MAS: ‘Pembunuh sangat kejam apabila menembak suami bertalu-talu, saya yang melihat suami rebah terus memeluknya, namun pembunuh masih melepaskan tembakan sehingga habis peluru,”.

Demikian luahan Wan Fatihah Mat Husin, 35, isteri kepada Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 35, yang maut ditembak di Sungai Golok petang semalam.

Wan Fatihah yang sarat mengandung itu mendakwa, suaminya terkena 18 das tembakan selepas pemeriksaan dibuat di hospital dan kejadian itu didalangi dua individu.

Menceritakan kejadian tragik itu, beliau berkata, ketika kejadian dia dan suami sedang memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebelum didatangi dua individu dan melepaskan tembakan ke arah suami dari arah belakang.

“Sebaik terkena beberapa das tembakan, suami terus rebah dan saya memeluknya dalam keadaan berlumuran darah.

“Namun pembunuh masih melepaskan tembakan sehinggalah peluru habis, barulah mereka melarikan diri dengan kereta.

“Akibat kejadian itu, suami mengalami kecederaan parah dan peluru mengenai leher, badan dan dada,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jelasnya, sebaik suami dibawa ke hospital, doktor yang merawat memaklumkan suami terkena 18 das tembakan sebelum disahkan meninggal dunia jam 9 malam.

“Saya terkejut dan sedih dengan apa yang berlaku kerana kejadian ini berlaku di depan mata saya sendiri,” katanya.

Terdahulu, seorang peniaga rakyat Malaysia meninggal dunia selepas ditembak individu dikenali di kediamannya di Sungai Golok, petang semalam.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok jam 9 malam waktu Malaysia. – BH

More From Author

Saya mohon maaf – Kor Ming

‘Baliklah Hadi, mak dan abah tak marah…’