Sepanyol gugurkan Yamal

MADRID: Bintang muda sensasi Barcelona, Lamine Yamal terpaksa digugurkan daripada skuad kebangsaan Sepanyol bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2026 selepas menjalani prosedur rawatan tanpa memaklumkan kepada pasukan perubatan.

Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) dalam satu kenyataanmengesahkan bahawa pemain berusia 18 tahun itu menjalani prosedur radiofrekuensi invasif pada pagi Isnin bagi merawat kesakitan di bahagian pubis (pangkal paha).

Menurut kenyataan itu, pasukan perubatan RFEF terkejut dan kecewa apabila mendapati rawatan berkenaan dilakukan tanpa sebarang notis awal kepada mereka.

“Prosedur itu dijalankan tanpa pengetahuan kakitangan perubatan pasukan kebangsaan, yang hanya dimaklumkan mengenai perkara itu melalui laporan perubatan pada malam hari yang sama,” kata kenyataan itu.

Yamal sepatutnya melapor diri ke kem latihan skuad kebangsaan pada Isnin, namun selepas menilai keadaan semasanya, pihak RFEF memutuskan untuk melepaskannya daripada skuad kali ini bagi memberi keutamaan kepada kesihatan dan keselamatan pemain.

Tempoh pemulihan selepas menjalani rawatan seperti itu dianggarkan antara tujuh hingga 10 hari, menurut RFEF.

Pemain sayap muda itu sebelum ini turut terlepas aksi kelayakan Oktober lalu akibat masalah pangkal paha.

Sepanyol kini mendahului Kumpulan E dengan rekod sempurna selepas empat perlawanan dan dijangka mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada sekiranya menang dalam dua aksi seterusnya.

Sepanyol dijadual menentang Georgia di Tbilisi, Sabtu ini sebelum melayan kunjungan Turkiye di Seville, 18 November ini. – AFP

More From Author

WhatsApp Timbalan Menteri Besar Kelantan kena godam

Indonesia anugerah status Pahlawan Negara kepada Suharto