LONDON: Bekas penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang mengakui perpindahannya ke Chelsea pada 2022 sebagai ‘kesilapan besar’ dalam kariernya selepas melalui tempoh sukar bersama kelab London itu.
Penyerang kelahiran Gabon berusia 36 tahun itu membuat pendedahan berani ketika menjadi tetamu dalam satu podcast bersama peminat Arsenal yang dikendalikan bekas personaliti AFTV, Troopz.
Kini bersama Marseille dalam saingan Ligue 1, Aubameyang kembali menemui sentuhan jaringan dengan empat gol dan dua bantuan gol dalam 10 perlawanan, bergandingan bersama bekas pemain Manchester United, Mason Greenwood.
Namun, dia nyata masih kecewa atas perpindahannya pada 2022 ke Stamford Bridge.
“Ia satu kesilapan besar… satu kesilapan yang sangat besar,” katanya.
“Ketika itu saya berada dalam keadaan sukar di Barcelona. Rumah saya baru dipecah masuk dan kelab pula perlu menjual salah seorang antara saya atau (Memphis) Depay.
“Satu-satunya tawaran yang ada ketika itu datang daripada Chelsea. Jadi demi keluarga, saya putuskan untuk berpindah, walaupun ke Chelsea.
“Saya fikir mungkin ia akan baik-baik saja, sebab (Olivier) Giroud dulu berpindah dari Arsenal ke Chelsea tanpa masalah, tetapi bagi saya segalanya berbeza.” – AGENSI
