Langkah FAM masih ‘misteri’

KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak tanah air masih belum mengetahui mengenai perkembangan terbaharu proses Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membawa kes pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Selepas seminggu Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan alasan penuh keputusan menolak rayuan daripada FAM dan tujuh pemain terbabit, belum ada maklumat terkini mengenai proses ke CAS yang dikongsikan badan induk bola sepak negara itu.

Setakat ini, peminat hanya bersandarkan kepada kenyataan Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi pada 18 November lalu yang memaklumkan badan induk itu akan memulakan proses untuk membawa kes berkenaan ke CAS.

“Langkah ini diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang sudah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan-badan berkaitan.

“FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara dan akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya,” kata Mohd Yusoff dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, susulan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA dikeluarkan, banyak pihak termasuk pakar undang-undang yang memberi pandangan bahawa FAM perlu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membawa kes itu ke CAS.

Ia berdasarkan alasan penuh setebal 64 muka surat itu menjelaskan secara terperinci mengenai ‘jawapan’ mengapa dakwaan dan hukuman dikenakan terhadap FAM serta tujuh pemain terbabit.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat pada 20 November lalu juga memaklumkan CAS boleh menyarankan kepada FIFA untuk meningkatkan denda dan penggantungan jika FAM tidak berjaya di peringkat CAS.

Hannah bagaimanapun turut menjelaskan bahawa FAM mempunyai hak sekiranya badan induk itu mahu membawa kes berkenaan ke CAS.

Namun, setakat ini, belum ada pengumuman rasmi daripada FAM mengenai pendirian mereka sama ada akan tetap membawa kes berkenaan ke ‘pentas akhir’ di CAS atau sebaliknya dan usaha BH Sukan untuk mendapatkan komen daripada Mohd Yusoff mengenai perkara itu juga gagal mendapatkan jawapan.

Berdasarkan kenyataan FIFA sebelum ini, FAM mempunyai tempoh 21 hari dari tarikh pengumuman alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan iaitu pada 18 November lalu untuk membawa kes berkenaan ke CAS dan ia bermakna tempoh itu berbaki kurang dua minggu lagi.

Sebagai rekod, Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lalu mengenakan denda 350,000 Swiss franc (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala tujuh pemain masing-masing dikenakan denda 2,000 Swiss franc (RM10,600) serta digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. – BH

More From Author

Shamsul Iskandar letak jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan PM

Dolla jumpa Fahmi di Parlimen