KUALA LUMPUR: Aksi Liga Super antara Negeri Sembilan FC (NSFC) menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi dicemari insiden sekumpulan penyokong yang didakwa bergaduh di luar stadium.
Menerusi satu video di laman Facebook Penyulam Aksara, kejadian dipercayai berlaku apabila beberapa individu membaling batu ke arah sebuah bas penyokong sehingga merosakkan cermin kenderaan berkenaan.
Rakaman video itu menjadi tular sekali gus mencetuskan kebimbangan berhubung tahap keselamatan kepada penyokong bola sepak yang hadir menyaksikan perlawanan di stadium.
Setakat ini, belum dapat dipastikan penyokong kelab mana yang bertanggungjawab terhadap insiden itu.
Pada aksi terbabit, NSFC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Luqman Hakim Shamsudin di hujung babak pertama.
Namun hasrat NSFC meraih mata penuh di laman sendiri berkecai selepas Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili meledak gol penyamaan pada minit ke-90. – BH
