KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengundang keterujaan peminat apabila berkongsi poster duetnya bersama bintang dangdut popular Indonesia, Lesti Kejora di Instagram (IG) sambil memperdengarkan sedutan ringkas single baharu mereka berjudul, Kumbang Bunga.
Tampil mempesona dalam gaya tradisional, Siti menerusi hantaran itu memaklumkan lagu yang menggabungkan irama tradisional dan dangdut itu bakal dilancarkan di semua platform penstriman digital esok
“Dua jiwa, dua negara berpadu dalam satu irama. Datuk Seri Siti Nurhaliza dari Malaysia dan Lesti dari Indonesia.
“Single Kumbang Bunga menjadi saksi indahnya cinta muzik tanpa sempadan.
“Laksana songket bertemu batik, garapan indah irama Melayu dan sentuhan dangdut bersatu. 22.10.2025 di seluruh pelantar penstriman digital,” tulis Siti dalam hantaran berkenaan.
Tidak sampai beberapa jam dimuat naik, hantaran penyanyi nombor sat negara itu meraih lebih 50,000 tanda suka dan hampir 1,000 komen daripada peminat yang teruja dengan pengumuman berkenaan.
Kolaborasi itu bukan sahaja mengejutkan peminat tempatan, malah mencetus keterujaan di Indonesia apabila gandingan dua figura besar dunia hiburan serantau itu diumumkan tanpa sebarang promosi awal.
“Tanpa sebarang amaran, tiba-tiba keluar esok… Aaaa tak sabarrr! Bismillah!” tulis seorang peminat.
Tidak kurang juga yang mendoakan agar karya berkenaan menjadi projek duet paling berjaya tahun ini.
“Allahumma baarik… akhirnya impianku ingin dua idolaku bersatu dalam lagu.
“Bismillah… semoga trending, booming dan sukses lagunya. Aamiin Allahumma Aamiin,” ujar seorang lagi peminat.
September lalu, Siti dan Lesti pernah berkongsi pentas di acara Indonesia Television Awards mendendangkan lagu Bukan Cinta Biasa. – BH
