SUBANG JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan bahawa baginda dimaklumkan aduan yang dibuat kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai tujuh pemain warisan Harimau Malaya bukan datang daripada Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF).
Tunku Mahkota Ismail berkata, perkara berkenaan dimaklumkan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan baginda menyifatkan ia sebagai pelik kerana aduan bukan datang daripada VFF.
“Saya diberitahu oleh AFC. Selepas kita menang melawan Vietnam, ada satu aduan, namun saya tidak tahu aduan itu dari siapa.
“Apabila saya bertanya kepada AFC, mereka katakan kepada saya bahawa aduan itu tidak datang dari Vietnam FA (VFF).
“Seseorang dari Vietnam, tetapi bukan FA. Jadi kita tidak tahu, bukan Setiausaha Agung VFF, bukan presiden. Itulah yang saya diberitahu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
BH Sukan sebelum ini melaporkan bahawa aduan yang diterima FIFA pada 11 Jun lalu membawa kepada langkah pertama badan induk bola sepak dunia itu membuka kertas siasatan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Perkara itu didedahkan FIFA dalam laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision” bertarikh 6 Oktober 2025 yang menjelaskan butiran penuh berhubung keputusan menghukum FAM serta tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Alejandro Hevel.
Menerusi fakta kes atau kronologi dalam laporan itu, FIFA memaklumkan pihaknya menerima aduan berkaitan pemain berkenaan itu pada 11 Jun, iaitu sehari selepas Harimau Malaya membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – BH
