LIVERPOOL: Bintang Mesir, Mohamed Salah, mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong Liverpool selepas memadam semua rujukan berkaitan kelab itu di akaun X miliknya sejurus kemenangan 5-1 ke atas Eintracht Frankfurt dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Dalam perlawanan di Jerman itu, Salah tidak tersenarai dalam kesebelasan utama apabila pengendali The Reds, Arne Slot, memilih untuk merehatkannya di bangku simpanan.
Liverpool bagaimanapun tidak berdepan masalah meraih kemenangan hasil jaringan Hugo Ekitike, Virgil van Dijk, Ibrahima Konate, Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai, sekali gus menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut sebelum ini.
Aksi hambar Salah sejak beberapa minggu lalu terus menjadi tumpuan apabila pemain berusia 33 tahun itu gagal menjaringkan gol atau mencipta bantuan jaringan dalam lima perlawanan terakhirnya bersama Liverpool.
Malah, tindakannya enggan melorongkan bola kepada Florian Wirtz untuk peluang mudah menjaringkan gol selepas masuk pada babak kedua ketika menentang Frankfurt turut menimbulkan kemarahan penyokong.
Selepas perlawanan, penyokong Liverpool semakin keliru apabila Salah menukar gambar profilnya di X kepada imej bersama dua anaknya di pantai serta memadam foto meraikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool pada gambar latar belakang.
Slot ketika ditanya mengenai keputusannya merehatkan Salah sebelum perlawanan mengakui langkah itu bukan mudah, namun dibuat atas pertimbangan taktikal dan keseimbangan pasukan.
“Sudah tentu sukar untuk meninggalkan Mo di bangku simpanan. Tetapi dengan kecederaan Ryan Gravenberch, kami perlu mengubah struktur pasukan, dan inilah pendekatan terbaik menentang Frankfurt,” katanya. – AGENSI
