JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat import dan eksport sarung tangan getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengemukakan pernyataan palsu, tahun lalu.
Tertiduh, Toh Yang Seng, 51, yang juga Pengarah Syarikat GBM Glove Sdn Bhd membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membenarkan seorang setiausaha di Firma Setiausaha Syarikat, Asiapro Advisory Sdn Bhd untuk membuat satu pernyataan palsu berkenaan butir material dalam ‘Application To Strike Off Company GBM Glove Enterprise Sdn Bhd’ bertarikh 21 Februari 2024.
Itu adalah satu dokumen yang dikehendaki di bawah Seksyen 550 Akta Syarikat 2016 (Akta 777) berhubung dengan satu deklarasi mengenai GBM Glove Enterprise Sdn Bhd iaitu ‘The company does not have any assets or liabilities including any outstanding charges in the Register of Charges kept at the office of the Registrar of the Companies’ yang mana diketahuinya adalah palsu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat tersebut di Jalan Mutiara Emas 2/5, Taman Mount Austin di sini, antara 15 Januari 2024 hingga 21 Februari 2024.
Dia didakwa di bawah Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau denda sehingga RM3 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Namun, tertuduh yang diwakili peguam bela, Heng Wang Qianwei dan Au Yong Han Xing memohon jumlah jaminan yang lebih rendah atas alasan dia adalah penanggung tunggal keluarga.
“Syarikat tertuduh sudah ditutup pada 21 Februari 2024 kerana kerugian dan sejak itu dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan pendapatan yang terhad.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 November depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.- Majestic