Nagelsmann tetap percaya Wirtz mampu bangkit di Anfield

BELFAST: Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann tampil mempertahankan pemain tengah Liverpool, Florian Wirtz yang masih bergelut menyesuaikan diri di Anfield, sambil menegaskan beliau yakin bintang muda itu akan segera bangkit dan menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bercakap di Belfast menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Ireland Utara, Nagelsmann menyifatkan tempoh penyesuaian perlahan Wirtz sebagai sesuatu yang “normal.”

“Saya tidak risau langsung. Dia akan menyesuaikan diri dengan cepat dan menjaringkan gol untuk Liverpool,” kata pengendali berusia 38 tahun itu.

“Dia akan mencipta banyak detik indah di Anfield.”

Sejak berpindah dari Bayer Leverkusen dengan yuran £100 juta (RM563 juta) pada musim panas lalu, Wirtz masih belum merekodkan sebarang gol atau bantuan jaringan dalam sembilan penampilan EPL dan Liga Juara-Juara bersama skuad bimbingan Arne Slot itu.

Nagelsmann berharap Wirtz dapat menemui semula keyakinannya apabila turun beraksi di Belfast awal pagi esok, sambil berkata: “Ia bagus untuk dirinya dan juga buat kami.”

Jerman memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dengan langkah sumbang apabila tewas mengejut 0-2 kepada Slovakia, namun bangkit menewaskan Ireland Utara 3-1 di Cologne.

Mereka kemudian tampil meyakinkan ketika membenam Luxembourg 4-0 Jumaat lalu, walaupun lawan terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir sepanjang perlawanan.

“Kami sudah tewas sekali dan pada kelayakan Piala Dunia, kekalahan seperti itu tidak banyak ruang untuk diperbaiki,” kata Nagelsmann.

“Kami akan cuba dapatkan tiga mata. Kami tidak akan layak esok, tetapi kami boleh letakkan diri dalam posisi yang baik. Kami perlu melangkah selangkah demi selangkah.”

Jerman dan Ireland Utara kini berkongsi kedudukan teratas Kumpulan A bersama Slovakia, masing-masing mengumpul enam mata hasil dua kemenangan, manakala Luxembourg di tangga tercorot selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut.

Ireland Utara, yang kali terakhir beraksi pada Piala Dunia 1986, akan kehilangan kapten mereka yang juga pertahanan Liverpool, Conor Bradley susulan penggantungan.

Selepas mencipta kejutan menewaskan Slovakia 2-0 Jumaat lalu, skuad bimbingan Michael O’Neill kini bersemangat tinggi untuk terus mencabar Jerman, juara dunia empat kali. – AFP

More From Author

‘Perang sudah berakhir’ – Presiden Trump

Polis masih siasat lelaki mengamuk bawa pisau pemotong daging