AIR FORCE ONE/BAITULMAQDIS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menegaskan gencatan senjata yang disokong AS di Gaza tidak terancam selepas pihak berkuasa tempatan melaporkan 26 orang terbunuh dalam serangan Israel yang menyaksikan Israel dan Hamas saling menuduh antara satu sama lain atas keganasan itu.
Semalam, pesawat tentera Israel melancarkan serangan di Gaza selepas Israel menuduh Hamas melanggar gencatan senjata.
Dalam pada itu, pihak berkuasa kesihatan Gaza mendakwa serangan itu membunuh sekurang-kurangnya 26 orang, termasuk lima orang di sebuah rumah yang terkena di kem pelarian Bureij di tengah Semenanjung Gaza, empat di sebuah bangunan di kawasan Sabra, Bandar Gaza, dan lima di dalam sebuah kereta di Khan Younis.
Trump berkata, beliau mendapat maklumat bahawa Hamas membunuh seorang tentera Israel dan adalah wajar untuk Israel membalas serangan untuk mempertahankan diri.
Saksi mendakwa, pesawat Israel melakukan serangan berterusan sehingga hari ini di seluruh Gaza.
Bagaimanapun, tentera Israel tidak segera mengulas mengenai serangan itu, yang menyusuli kenyataan pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu bahawa beliau sudah mengarahkan serangan hebat serta-merta.
Perjanjian gencatan senjata yang disokong AS itu berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, menamatkan dua tahun perang yang tercetus susulan serangan berpandukan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Kedua-dua pihak saling menuduh melakukan pelanggaran gencatan senjata.
“Jika mereka (Hamas) baik, mereka akan gembira dan jika tidak, mereka akan dihapuskan dan nyawa mereka akan ditamatkan.
“Tiada siapa yang tahu apa yang berlaku kepada tentera Israel berkenaan, tetapi mereka kata ia adalah tembakan balas dan ia adalah pembalasan bagi tindakan terbabit dan saya rasa mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian,” kata Trump. – REUTERS
