Arabella terkejut nama tersenarai Top 10 ABPBH 37

KUALA LUMPUR: Andai perlu menamakan pendatang baharu yang dilihat memiliki potensi besar dan mampu bersinar jika digilap baik, Arabella Ellen dianggap individu tepat.

Sebaik menempa nama sebagai naib juara program pencarian bakat, Dewi Remaja edisi 2023, kemampuan lakonan diArabella mula menjadi perhatian ramai penggiat industri merangkumi pengarah dan penerbit drama.

Gelaran naib juara program berkenaan dilihat menjadi ‘tiket khas’ buat Arabella atau nama penuh, Arabella Ellen John Robert Nelson untuk melebarkan sayap, sekali gus dianggap antara bakat pelapis dalam belantara seni tanah air.

Hanya beberapa ketika selepas Dewi Remaja 2023 melabuhkan tirai, Arabella disambar syarikat produksi, KL Motion Picture Sdn Bhd untuk membintangi drama Yang Tahu Je Tahu, lantas menjadi naskhah pertamanya sebagai pelakon.

Bermula saat itu, bakat Arabella terus ditagih beberapa produksi lain untuk menjadi pelengkap kepada tiga drama, iaitu Bunga Salju, Dari Mata Turun Ke Hati dan Kelas Tahanan Cikgu Hiragi yang masing-masing ditayangkan di Astro, tahun lalu.

Arabella kemudian terbabit dengan drama popular, Curang Tanpa Niat sebagai pelakon pembantu. Biarpun peranannya tidak besar, Arabella tetap mampu melihatnya sebagai pengalaman berharga apabila berpeluang berlakon bersama bitang hebat seperti Shukri Yahaya, Mira Filzah dan Sharifah Sakinah.

Tahun ini, pelakon kelahiran Kuantan, Pahang itu tampil lagi dengan dua drama, iaitu Mitos Cinta Akira tayangan platform penstriman, Viu dan Generasi: Perfect 10 yang kini masih bersiaran di saluran Astro Ria.

Melihat peningkatan graf kerjaya dan popularitinya saban hari, gadis jelita kacukan Melayu-Inggeris berusia 20 tahun itu memiliki potensi besar untuk berada dalam kelompok aktres berkaliber tanah air kelak.

Kali ini, Arabella melakar satu lagi pencapaian peribadi apabila dicalonkan dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37 menerusi kategori Artis Baharu Wanita Popular.

Menariknya, Arabella kini diumum sebagai salah seorang dalam kelompok Top 10, iaitu calon yang meraih undian tertinggi setakat ini.

Sudah pasti, ketika fasa seorang anak seni itu bertumbuh menjadi versi lebih baik, anugerah serta pengiktirafan menjadi dambaan kerana dikatakan sebagai pelengkap kerjaya serta hadiah kepada segala usaha yang sudah dicurahkan.

Tidak terkecuali buat Arabella yang menyitkan pencalonan diterima dalam penganjuran acara anugerah pilihan peminat paling lama bertahan di Malaysia anjuran BH sebagai berita mengejutkan, apatah lagi diletakkan sebaris dengan nama hebat lain. – BH

More From Author

Konvoi bantuan ke Gaza masih disekat

Remaja maut nahas tiga motosikal, dipercayai dirempuh penunggang berlumba