JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 60 warga asing selepas menyerbu kedai menjahit pakaian, kilang logam dan premis yay menyajikan makanan untuk warga asing di sekitar daerah ini semalam.

Operasi penguatkuasaan Op Mahir, Ops Selera dan Ops Kutip itu bermula pukul 11 pagi melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa JIM Johor.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, warga asing itu ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Selain itu katanya, mereka yang berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 54 tahun juga dipercayai menyalahgunakan pas lawatan untuk tujuan bekerja.
“Mereka terdiri daripada 19 lelaki dewasa warga Myanmar, enam lelaki dewasa warga Indonesia, seorang lelaki dewasa warga Sri Lanka serta masing-masing lima lelaki dewasa warga India dan lelaki dewasa warga Bangladesh.
“Ini termasuk seorang lelaki dewasa warga Pakistan, lima lelaki dewasa warga Kemboja, 10 wanita dewasa warga Myanmar, empat wanita dewasa warga Indonesia, dua wanita dewasa warga India dan dua wanita dewasa warga Sri Lanka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semua individu yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Mereka ujarnya, ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.
Sebanyak 13 borang 29 katanya, iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
Tambahnya, JIM juga akan meneruskan usaha-usaha membanteras PATI di negeri ini.- Majestic
Caption gambar: Imigresen menahan 60 warga asing dalam serbuan di beberapa premis yang mempunyai pekerja asing sekitar Johor Bahru semalam