22 cedera mercun rai Deepavali meletup: Dua lelaki ditahan bantu siasatan

KULIM: Dua lelaki ditahan untuk membantu siasatan berhubung kejadian letupan mercun sempena sambutan Deepavali malam tadi sehingga menyebabkan 22 orang awam cedera.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan, berkata susulan video berdurasi 22 saat berhubung kejadian itu yang tular di media sosial, pihaknya berjaya mengesan dua suspek sebelum menahan mereka di Taman Senangin dan Paya Besar hari ini.

Beliau berkata, suspek pertama lelaki berusia 34 tahun beralamat di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur dan bekerja sebagai khidmat pelanggan.

“Suspek mempunyai satu rekod jenayah lalu. Suspek kedua pula lelaki berusia 23 tahun beralamat di Jalan Paya Besar, Lunas dan bekerja sebagai pembantu kedai juga mempunyai satu rekod jenayah lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek adalah kenalan lama dan ketika kejadian mereka sedang lepak bersama dengan beberapa rakan lain di kawasan terbabit.

“Ketika itu suspek pertama dalam keadaan mabuk mendapatkan mercun jenis ‘kelapa’ di sebuah khemah yang menjual bahan letupan itu pada harga RM200.

“Suspek kemudian membawa dan memasukkan mercun itu ke dalam sebuah silinder yang tersedia di tepi jalan dan pada waktu itu rakan-rakan lain dan orang ramai yang lalu turut menyaksikan pertunjukan mercun di situ.

“Selepas itu, suspek kedua kemudian membakar mercun berkenaan tetapi tidak naik dan meletup di bawah disyaki suspek pertama memasangnya secara terbalik kerana mabuk.

“Akibat letupan itu, 22 mangsa yang berada dan lalu di situ cedera termasuk seorang mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala iaitu retak tengkorak bahagian dahi dan kini dirujuk ke Hospital Pulau Pinang,” katanya.

Zulkifli berkata, setakat ini 10 mangsa sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 22 orang cedera susulan letupan mercun sempena sambutan Deepavali di tepi Jalan Paya Besar, di sini, tengah malam tadi. – BH

More From Author

KPM akan umum beberapa langkah tambahan perkukuh ekosistem sekolah selamat

Ramalan Superkomputer selepas United ‘ajar’ Liverpool