Zizi Kirana tenang dihujani letupan, dron buru konvoi Gaza

KUALA LUMPUR: Berbaki seminggu sebelum pelayaran Global Solidarity Flotilla (GSF) tiba di Gaza, misi kemanusiaan itu berdepan detik mencemaskan apabila konvoi mereka semakin kerap diekori dron selain diancam dengan beberapa letupan di perairan antarabangsa.

Berkongsi pengalaman ngeri itu, penyani popular, Zizi Kirana yang turut menyertai misi kemanusiaan itu memberitahu, setiap peserta dinasihatkan kekal tenang dan bersedia dengan sebarang kemungkinan, terutama menjelang kemasukan ke zon merah dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Wallahualam, tak tahu dron dari mana, tapi sejak awal ada sekitar 15 dron yang dihantar. Sekarang ini mereka seperti menjatuhkan sesuatu. Ada gas, ada juga serbuk seperti ‘gun powder’ ke atas beberapa kapal.

“Selain itu, ada juga yang dijatuhkan ke laut hingga kedengaran bunyi letupan dari pelbagai arah. Kami dijangka tiba ke Gaza dalam tujuh atau lapan hari lagi. Sekarang sudah berada di zon kuning, jadi dua atau tiga hari lagi akan masuk ke zon merah,” katanya ketika dihubungi penyampai segmen Pagi On Point Kool 101, Datuk Aznil Nawawi bersama Muaz Mohamed dan Haiza Hanafi, pagi tadi.

Zizi yang baru selesai menjalani syif ‘night watch’ berkata, suasana malam lebih mencemaskan apabila kelihatan beberapa dron berlegar di udara meskipun dalam jarak agak jauh.

“Memang nampak beberapa dron. Itu sebab kami diarahkan duduk tenang dalam bot masing-masing dan sentiasa memakai jaket keselamatan. Memang nampak pihak berkenaan sedang memeriksa semua kapal,” ujarnya.

Biarpun diasak detik genting, Zizi tetap tabah dan memilih untuk menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Ilahi.

“Saya tak tahu bagaimana hendak ungkapkan, tetapi Allah berikan ketenangan. Dalam hati, saya hanya berdoa agar perjalanan kami dipermudahkan untuk memberi bantuan kepada Gaza,” katanya. – BH

More From Author

Aina pertahan kemenangan, anggap polemik vokal keterlaluan

12 dicekup disyaki terbabit ‘counter setting’