WASHINGTON: Presiden Donald Trump berdepan sekumpulan penunjuk perasaan yang memanggilnya ‘Hitler zaman ini’ ketika sedang makan malam di sebuah restoran di sini, malam tadi.
Menurut laporan The Independent, Trump ketika itu bersama Naib Presidennya JD Vance, Setiausaha Negara, Marco Rubio, Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth dan pegawai kanan Rumah Putih yang lain.
Mereka mengunjungi sebuah restoran iaitu Joe’s Seafood, Prime Steak & Stone Crab, yang terletak tidak jauh dari Rumah Putih.
Lawatan itu bertujuan menunjukkan bandar berkenaan dalam keadaan selamat sejak pentadbirannya memutuskan untuk meletakkan penguatkuasaan polis di bawah kawalan persekutuan bulan lalu.
Susulan langkah itu, Trump menghantar tentera Pengawal Nasional dan ejen persekutuan lain bagi membantu pihak berkuasa tempatan membanteras jenayah bandar meskipun statistik rasmi menunjukkan langkah terbabit sebenarnya tidak diperlukan.
“Kami berdiri betul-betul di tengah-tengah DC.
“Ia dulu satu daripada bandar paling tidak selamat di negara ini. Sekarang ia selamat sebagaimana mana-mana lokasi lain di negara ini,” katanya dengan bangga kepada wartawan sebelum memasuki restoran.
Namun, video yang dimuat naik di media sosial itu mendedahkan bahawa malam itu tidak setenang seperti yang mungkin diinginkannya.
Bukan sahaja beliau berdepan soalan sukar daripada pihak media mengenai Israel dan Jeffrey Epstein di luar lokasi, malam kumpulan aktivis turut mengambil peluang mengecamnya dengan jeritan ‘Bebaskan DC.! Bebaskan Palestin! Trump adalah Hitler zaman kita!’
“Anda tidak dialu-alukan di sini!,” laung seorang wanita kepada Trump dengan satu lagi suara kedengaran di dalam restoran membalas ‘ya, beliau dialu-alukan’.
Trump pada mulanya kelihatan tidak terkesan dengan laungan itu, namun kemudian beliau memberi isyarat kepada pasukan keselamatannya dan berkata: ‘Ayuh, mari kita pergi. Bawa mereka keluar dari sini’. – AGENSI
