Takkan nak bawa watak ‘Datuk’ gatal, suami curang dan cerita berulang – Sidi Oraza

BERANANG: Ditawarkan watak ringan iaitu menjadi ‘Datuk’ gatal, kisah malang ibu Melayu, suami curang, anak derhaka dan jalan cerita yang berulang-ulang membuatkan aktor berkaliber, Datuk Sidi Oraza, 60, tawar hati untuk terus berlakon lagi.

Sidi atau nama sebenar, Syed Osman Syed Rastan ketika ditemui berkata, kali terakhir dia berlakon adalah pada 2000 atau kira-kira 25 tahun lalu.

“Saya boleh katakan saya sudah ‘gantung raket’. Dalam bahasa mudahnya, saya sudah berhenti,” katanya kepada Harian Metro.

Sidi yang juga pemenang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-41 pada 1996 di Auckland, New Zealand, menerusi filem Sayang Salmah, memberitahu, sukar untuk dia mencari skrip berimpak besar kepada ketamadunan masyarakat.

“Lakonan itu suatu seni dan minat saya masih ada. Namun, skrip yang menuntut penghayatan tinggi seperti dahulu sudah jarang saya temui.

“Dahulu, saya berlakon dalam karya-karya berat seperti Sayang Salmah dan Layar Lara. Pada peringkat awal, saya tiada nama, jadi, apa saja watak saya terima.”Namun, apabila sudah berfikir panjang, saya mula tertanya, sampai bila saya perlu berlakon cerita klise berkisar malangnya seorang ibu Melayu, suami berlaku curang, anak derhaka dan jalan cerita yang berulang. Sebab itu saya cuba keluar dari kepompong itu,” katanya.

Sidi berkata, kebanyakan tawaran yang datang hanyalah bagi menjayakan watak stereotaip.

“Dalam Layar Lara, saya bawa watak Malik, iaitu pengarah yang kompleks. Dalam Sayang Salmah pula, saya bawa watak Hassan yang menjadi gila. Saya mahukan skrip yang mempunyai tuntutan besar, yang memberi kesan kepada peradaban dan boleh membawa martabat seni kita ke peringkat dunia.

“Sayangnya, tawaran yang datang selepas itu banyak berbentuk stereotaip. Ada yang mahu saya berlakon sebagai ‘Datuk’ gatal dan watak ringan begitu. Saya fikir itu bukan lagi tempat saya,” katanya.

Sekiranya skrip dan watak yang ditawarkan hanya ala kadar, Sidi lebih selesa membuka ruang dan memberi jalan kepada pendatang baharu.

“Saya mahukan skrip yang benar-benar mempunyai impak, di mana boleh kita banggakan di peringkat antarabangsa.

“Saya pernah menang di Asia. Jadi, apabila sudah biasa ‘memasak’ hidangan enak, mustahil saya mahu kembali memasak sesuatu yang ala kadar.

“Kalau itu yang diminta, lebih baik saya beri peluang kepada orang lain yang baru hendak belajar,” katanya.

Kali terakhir Sidi beraksi di set penggambaran adalah pada 2000, atas rasa hormat kepada dua bintang legenda yang dihormatinya iaitu Allahyarham Aziz Sattar dan Allahyarham S Shamsuddin.

“Waktu itu, mereka memanggil saya untuk turut serta. Saya pun ikut. Itu antara ‘stok’ terakhir saya dan naskhah itu diarahkan Murali Abdullah.

“Saya gembira kerana orang yang saya hormati sejak kecil ajak saya. Walaupun ceritanya berunsur komedi, saya rasa terhormat kerana dapat menghiburkan mereka.

“Selepas itu masih ada tawaran lain, tetapi kembali kepada persoalan tadi, tuntutan skrip. Saya rasa lebih baik peluang itu diberi kepada orang lain,” katanya.

Kini, dari seni lakon, Sidi beralih kepada seni persilatan walaupun rasa rindu terhadap dunia lakonan itu tidak dapat disembunyikan.

“Kalau ditanya, sudah tentu ada. Apabila nonton lakonan artis lain, kadang-kadang saya tertanya sendiri kenapa dia lakon begitu, kenapa dia tidak buat begini? Naluri itu masih ada.

“Namun, kalau saya kembali berlakon dengan skrip dan tuntutan yang sama seperti yang saya cuba elakkan dulu, hasilnya akan serupa juga.

“Sebab itu saya pilih untuk mengalihkan fokus kepada bidang seni lain. Dari seni lakonan, saya beri tumpuan pula kepada seni persilatan,” katanya.

Sidi yang juga penaung Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) Bahagian Negeri Selangor merangkap Ketua Imam Khalifah Negeri Selangor ditemui pada majlis pelancaran Pusat Latihan Tertinggi Pusaka Gayong Selangor di sini, malam tadi.

Sidi bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Nazli Md Taib merasmikan pusat latihan terbabit.

Selain Sayang Salmah dan Layar Lara, antara filem lakonan Sidi ialah Juara, Bayangan Maut, Suci Dalam Debu, Konstabel Mamat, Suratan Kasih dan Pelumba Malam.

Selain Festival Filem Asia Pasifik, Sidi dua kali memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-12 menerusi filem Sayang Salmah dan FFM ke-13 untuk filem Layar Lara.

Sidi turut memang kategori sama pada Anugerah Skrin 1994 menerusi Anak Angkat dan Pengarah Terbaik pada Anugerah Skrin 1999 untuk Surah Terakhir. – BH

More From Author

United sedia pinjamkan Onana ke Trabzonspor

SPRM umumkan perincian kes rasuah berprofil tinggi Selasa ini – Azam