PUTRAJAYA: Sewa kediaman majoriti penduduk Kampung Sungai Baru yang ditempatkan di penempatan sementara susulan pembangunan di kawasan berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata kebanyakan mereka ditempatkan di Residensi Sungai Udang dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda.
“Sebenarnya mereka yang bersetuju untuk berpindah dan tinggal di kawasan yang contohnya di rumah PPR atau residensi di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sewaan mereka ditanggung sepenuhnya oleh pemaju.
“Sewa itu ditanggung oleh pemaju sehingga projek pembangunan semula selesai, sehingga mereka mendapat rumah ganti,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Dr Zaliha berkata, kerajaan hanya mahu memastikan penduduk menikmati manfaat pembangunan termasuk pampasan adil dan kediaman yang lebih baik.
Katanya, hasil pertemuan dengan penduduk, mereka menyatakan tidak sesekali menolak pembangunan, namun hanya mempertikaikan isu pampasan.
“Penduduk tidak menolak pembangunan, mereka hanya pertikai isu pampasan. Kalau ada yang masih tidak puas hati, saluran mahkamah ada untuk mereka,” katanya.
Dr Zaliha bagaimanapun menyatakan kekesalannya dengan kelewatan projek kerana ada pemilik yang sudah meninggal dunia menantikan pembangunan di kawasan berkenaan.
“Sayangnya, ada antara penduduk yang sudah meninggal dunia sebelum sempat melihat projek ini siap dan sebab itu saya berazam mempercepatkan penyelesaian supaya hak mereka dikembalikan,” katanya. – BH
