JAKARTA: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam protes ganas di Indonesia, minggu lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Komnas HAM).
Protes tercetus akibat ketidakadilan ekonomi dan kemewahan wakil rakyat, sebelum merebak kepada kemarahan orang ramai terhadap polis susulan rakaman pembunuhan seorang pemandu muda oleh pihak berkuasa keselamatan.
Ketua Komnas HAM, Anis Hidayah, berkata pihaknya menerima laporan 10 kematian di Jakarta, Makassar, Jawa Tengah dan Papua, dengan lebih 900 cedera serta ribuan ditahan.
“Ada indikasi sebahagian mangsa akibat penggunaan kekerasan berlebihan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Yayasan Lembaga Bantuan Hukum Indonesia (YLBHI) dan Amnesty International turut mengesahkan angka korban sama, manakala KontraS melaporkan sekurang-kurangnya 20 masih hilang.
Pertempuran jalanan itu adalah yang terburuk sejak Presiden Prabowo Subianto mengambil alih kuasa tahun lalu, memaksanya menarik balik skim elaun mewah untuk ahli parlimen.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan bebas dijalankan segera terhadap dakwaan pencabulan hak asasi. – AFP