‘Sebagai orang Indonesia, saya minta maaf’

PETALING JAYA: Sekumpulan pelancong dipercayai dari Indonesia berkumpul dan berjoget dengan lagu dipasang kuat di taman Suria KLCC, Kuala Lumpur mengundang kemarahan rakyat Malaysia.

Menerusi video dimuat naik seorang pengguna Thread Ahmad Syauqi Abd. Razak memperlihatkan sekumpulan pelancong wanita memakai tudung warna merah jambu serta berkumpul di situ sambil berjoget.

Kelihatan polis bantuan hadir di tempat itu dan sedang bercakap dengan seorang individu lelaki.

“Indonesia buat KLCC park (taman) macam Monas Jakarta. Abang polis bantuan itu beritahu kepada mereka untuk bersurai. Rakyat Malaysia pun perlukan kebenaran untuk berkumpul di taman ini. Mereka bersurai selepas dimaklumkan,” menurut kapsyen ditulis Ahmad Syauqi.

Menerusi ruangan komen, rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan perbuatan berkenaan sekali gus menegaskan, mana-mana rakyat asing juga perlu mematuhi peraturan sekiranya berkunjung di negara ini.

“Maaf orang-orang Indonesia, tapi perbuatan ini agak memalukan,” komen pengguna Thread Ron Aruysa.

“Kalau nak berhimpun kena ada permit polis,” komen Harith Yaccob.

“Serabut dia orang ni nak joget pula depan KLCC. Pergi mana-mana pun bawa juga perangai entah apa-apa. Tinggal kat rumah saja lah perangai memalukan tu,” kata Loccomocca.

Hantaran itu turut mendapat maklum balas seorang rakyat Indonesia dan dia juga tidak bersetuju dengan perbuatan pelancong dari negaranya.

“Sebagai orang Indonesia, saya minta maaf. Pelancong macam ni sesekali memang perlu kena belasah,” kata Wulan Arwina. – KOSMO! ONLINE

More From Author

Palsu dokumen, FAM dan 7 pemain dikenakan tindakan FIFA

Batu Pahat bergegar lagi