‘Saya sedih, marah keputusan FIFA’

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi jaminan beliau akan sentiasa menjaga kebajikan setiap atlet yang mewakili Malaysia susulan tujuh pemain warisan negara digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam satu hantaran menerusi laman Instagram Storynya, Hannah turut menegaskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandang serius keputusan FIFA itu serta hak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengemukakan rayuan.

“Keutamaan sekarang adalah untuk FAM lengkapkan proses rayuan perundangan FIFA dan antarabangsa sehingga selesai sepenuhnya.

“Kesan perkara ini bukan sahaja melibatkan tujuh pemain tetapi seluruh pasukan kebangsaan kita. Oleh itu, semua pihak perlu memastikan proses ini dijalankan dengan penuh integriti dan ketelusan demi nama baik Malaysia.

“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya kekal komited untuk melindungi hak dan kebajikan semua atlet Malaysia tanpa mengira nama ada Azizul, Pearly, Thinaah, Pandelela, Gabriel atau Rodrigo,” katanya.

Malah, beliau turut menyatakan kesedihan atas tindakan yang diumumkan FIFA itu namun mengharapkan semua pihak dapat bertenang bagi memastikan proses rayuan dapat dijalankan dengan lancar.

“Sama seperti ribuan penyokong Harimau Malaya di luar sana, saya juga sedih dan marah membaca keputusan FIFA itu.

“Jangan terburu-buru, biarkan proses rayuan dapat disempurnakan dan kita akan mengendalikannya dari situ,” kata Hannah.

Terdahulu, FAM dan tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang beraksi buat negara dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027.

Kesemua mereka beraksi ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu, yang kemudian mengundang aduan rasmi kepada FIFA berhubung status kelayakan beberapa pemain berkenaan.

Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta. – BH

More From Author

‘Takkan kita takut, lawan tetap lawan’ – TMJ

Bayi setahun maut, lapan cedera dalam nahas 4 kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang