BATU PAHAT: “Hidup ini tiada jalan mudah… apa yang kamu buat (merompak) bukan caranya dan tindakan ini menyusahkan isteri serta anak kamu.”
Demikian teguran Hakim Mahkamah Sesyen, Osman Affendi Mohd Shalleh, sebelum menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan ke atas Zulri Jaafar, 44, yang mengaku bersalah merompak seorang warga asing pada Ahad lalu.
Pada prosiding di sini, hari ini, tertuduh yang juga seorang penganggur dan bapa kepada tujuh anak, dalam rayuannya memberitahu mahkamah bahawa dia merompak kerana perlu membayar hutang along dan menanggung keluarga.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak beg tangan, pasport serta wang tunai RM560 milik seorang lelaki warga Nepal berusia 35 tahun di Taman Beroleh di sini, kira-kira jam 5.30 petang 7 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana alasan dikemukakan tertuduh ketika rayuan dianggap tidak munasabah.
“Islam melarang umatnya melakukan perbuatan jenayah seperti ini. Tertuduh tidak ada sebab untuk bertindak (merompak) hanya kerana mahu menanggung ahli keluarga,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mendakwa bahawa dirinya dirompak lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal pada petang hari kejadian.
Hasil siasatan polis mendapati insiden berlaku ketika mangsa berjalan sambil menyorong basikal, dengan beg mengandungi barangan berharga diletakkan dalam raga hadapan.
Tertuduh didakwa menghampiri mangsa lalu melarikan beg itu. Hasil siasatan membawa kepada penahanan tertuduh kira-kira jam 9.30 malam, dua hari selepas kejadian.
Susulan itu, tertuduh turut menunjukkan motosikal dan pakaian yang digunakan ketika kejadian serta lokasi dia membakar beg dan pasport milik mangsa. – BH
