JOHOR BAHRU: Rakyat perlu berdiri teguh bersama-sama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam memperjuangkan isu yang melibatkan maruah bola sepak negara.
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd. Hairi Mad Shah menegaskan, seluruh rakyat mesti berdiri teguh dan bersatu hati mempertahankan pasukan kebangsaan agar tidak diperlekehkan oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau:
SOLIDARITI BERSAMA DYAM PEMANGKU SULTAN JOHOR-MARUAH BOLA SEPAK NEGARA PERLU DIPERTAHAN
DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, tidak seharusnya dibiarkan bersendirian dalam memperjuangkan isu yang melibatkan maruah bola sepak negara. Seluruh rakyat Malaysia mesti berdiri teguh dan bersatu hati mempertahankan pasukan kebangsaan agar tidak diperlekehkan oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA.
Maruah negara adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Isu yang berbangkit berhubung laporan dokumen tidak wajar dijadikan alasan untuk merendah-rendahkan dan memperlekeh Malaysia. Hakikatnya, setiap proses penilaian oleh FIFA telah melalui tapisan ketat, manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut melaksanakan tanggungjawab dengan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan.
Sebagai EXCO Belia dan Sukan Negeri Johor, saya menyeru seluruh EXCO Sukan negeri-negeri lain, Menteri serta semua pihak yang berkepentingan untuk bersama bersolidariti mempertahankan kepentingan negara. Inilah masanya kita bersatu, bukan menuding jari mencari salah. Apa yang lebih utama adalah memastikan Harimau Malaya tidak dihina di pentas antarabangsa.
Kepimpinan baharu FAM kini sedang berusaha merejuvenasi skuad kebangsaan. Usaha ini wajar mendapat sokongan penuh daripada semua pihak. Harimau Malaya bukan sekadar pasukan bola sepak, ia adalah simbol maruah Malaysia. Dan maruah ini mesti kita pertahankan bersama.
⸻
YB MOHD HAIRI BIN MAD SHAH
EXCO Belia & Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor