JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, melakukan rombakan Kabinet membabitkan lima kementerian utama termasuk menggantikan beberapa menteri sedia ada.
Ia termasuk Kementerian Kewangan; Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan; Kementerian Perlindungan Pekerja Migran; Kementerian Koperasi serta Kementerian Belia dan Sukan.
Antarany, penyingkiran mengejut Menteri Kewangan Indonesia yang berpengaruh, Sri Mulyani Indrawati, sekali gus menggugat pasaran.
Ini kerana pelabur bimbang kewibawaan fiskal yang dibina dengan sukar di bawahnya boleh terhakis akibat rancangan perbelanjaan populis dan tinggi kosnya di bawah Prabowo.
Rombakan kali ini turut menyaksikan Ketua Dewan Komisioner Lembaga Penjamin Simpanan (LPS), Purbaya Yudhi Sadewa, dilantik sebagai Menteri Kewangan menggantikan Sri Mulyani Indrawati.
Mukhtarudin dinamakan sebagai Menteri Perlindungan Pekerja Migran baharu menggantikan Abdul Kadir Karding manakala Ferry Juliantono menggantikan Budi Arie Setiadi di Kementerian Koperasi.
Prabowo turut menamakan Mochamad Irfan Yusuf sebagai menteri pertama mengetuai Kementerian Haji dan Umrah yang baharu ditubuhkan, dengan Dahnil Anzar Simanjuntak sebagai timbalannya.
Upacara angkat sumpah berlangsung di hadapan Prabowo di Istana Presiden di Jakarta Pusat dan disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen nasional serta platform media sosial rasmi.
Menteri Sekretariat Negara Prasetyo Hadi, dalam satu kenyataan berkata Prabowo masih belum menamakan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan yang baharu selepas Budi Gunawan digugurkan.
Buat sementara waktu, beliau melantik pegawai sementara yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa pengganti Menteri Belia dan Sukan, Dito Ariotedjo, masih belum dilantik kerana beliau kini berada di luar kota.
“Berdasarkan pelbagai pandangan serta penilaian berterusan yang dilakukan Presiden, petang ini beliau memutuskan untuk melaksanakan perubahan dalam Kabinet Merah Putih.
“Keputusan ini diharapkan membawa kebaikan kepada bangsa, negara dan rakyat,” tambahnya. – AGENSI