LONDON: Nottingham Forest hari ini mengumumkan pelantikan bekas pengendali Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou sebagai ketua jurulatih baharu selepas menamatkan kontrak Nuno Espirito Santo.
Awal pagi tadi, Forest mengesahkan telah melepaskan Nuno daripada tugasannya, susulan hubungan dingin jurulatih Portugal itu dengan pemilik kelab, Evangelos Marinakis yang sudah berlarutan sejak bulan lalu.
“Kami membawa masuk seorang jurulatih yang mempunyai rekod terbukti serta konsisten meraih trofi.
“Pengalamannya membimbing pasukan di peringkat tertinggi, selain keinginannya membina sesuatu yang istimewa bersama Forest, menjadikan dia individu tepat untuk membantu kami mencapai segala cita-cita,” kata Marinakis dalam kenyataan rasmi kelab.
Postecoglou, kelahiran Greece yang juga bekas pemain antarabangsa Australia, pernah mencipta sejarah bersama Spurs apabila menghadiahkan kelab itu trofi utama pertama sejak 2008 dengan menjuarai Liga Europa.
Namun, kegagalan Spurs mengekalkan rentak dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila sekadar menamatkan musim lalu di tangga ke-17, menyaksikan Postecoglou dipecat pada Jun lalu. – REUTERS