KOTA KINABALU: Seorang petugas Sabah Electricity Sdn Bhd yang hilang dibawa arus banjir di Sungai Nuntunan, Apin-Apin, Keningau pada Selasa lepas ditemukan lemas pada petang ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, Mohd Pisar Aziz, berkata mayat lelaki berusia 35 tahun itu ditemukan Team Galen Star di kawasan Sungai Kampung Liau Laut, Keningau pada 6.18 petang ini.
“Pasukan bomba membantu mengangkat mangsa dan akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Terdahulu, beliau berkata fokus operasi mencari dan menyelamat pada hari ini di sekitar Kampung Linsudan kerana terdapat penemuan kasut mangsa berada di sekitar sungai kampung berkenaan.
“Jarak dari lokasi mangsa dilaporkan hilang ialah 21 kilometer ke Kampung Linsudan,” katanya.
Team Galen Star adalah sebuah pasukan yang membantu JBPM Negeri Sabah dalam operasi mencari dan menyelamat apabila ada kejadian hilang di air.
Dalam kejadian itu, tiga petugas syarikat berkenaan dibawa arus banjir ketika ke Kampung Nuntunan Apin-Apin, Keningau untuk menjalankan operasi pemulihan bekalan elektrik. Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi dihanyutkan arus.
