Pemandu gig ancam cetus ‘Revolusi Ojol’ di Indonesia

JAKARTA: Kemarahan pekerja penghantaran di Indonesia semakin memuncak apabila mereka merancang mengadakan lebih banyak protes berskala besar bagi menuntut perlindungan dan keadilan dalam pekerjaan.

Pengerusi salah satu persatuan terbesar pekerja penghantaran, Raden Igun Wicaksono, memberi amaran bahawa perjuangan mereka masih di peringkat awal dan berikrar untuk melancarkan protes lebih besar dengan jutaan pekerja sedia melaksanakan apa yang digelar sebagai Revolusi Ojol.

Ojol ialan singkatan kepada ‘ojek online’ bagi merujuk kepada penunggang motosikal yang menawarkan khidmat penghantaran melalui aplikasi seperti Gojek dan Grab.

Beberapa minggu lalu, Wicaksono bersama rakan sejawat bergabung dengan pelajar dan buruh dalam satu protes besar sehingga memaksa Parlimen Indonesia mengurangkan faedah rasmi wakil rakyat dan menggugurkan beberapa ahli politik termasuk menteri.

Hari ini, ribuan pekerja penghantaran dijangka kembali berarak ke Parlimen menuntut undang-undang baharu yang melindungi golongan terbabit, yang dilihat memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.

Kemelut berpanjangan itu turut menjadikan hampir dua juta pekerja penghantaran sebagai liabiliti politik kepada Presiden Prabowo Subianto.

Mudah dilihat di setiap kesesakan jalan raya, penunggang berbaju seragam hijau Gojek dan Grab itu majoritinya berpendapatan rendah, tidak memiliki perlindungan insurans dan semakin kecewa terhadap kerajaan kerana gagal menyediakan pekerjaan selamat serta gaji yang setimpal.

“Kami bersedia menjadi pencetus revolusi di Indonesia kerana berjuta-juta rakan sekerja kami tidak lagi mampu menjalani kehidupan yang baik,” kata Wicaksono yang juga pengerusi Garda, sebuah persatuan dengan 7,000 ahli.

Gelombang tunjuk perasaan sebelum ini tercetus susulan kemarahan orang ramai terhadap elaun perumahan Rp50 juta (RM15,000) sebulan untuk anggota Parlimen yang dianggap melambangkan keistimewaan golongan elit ketika rakyat berdepan kesukaran ekonomi.

Ketegangan semakin memuncak selepas seorang pekerja penghantar, Affan Kurniawan maut digilis kenderaan polis di Jakarta pada 28 Ogos, mencetuskan kemarahan di seluruh negara.

Pada asalnya, kerjaya sebagai penghantar dianggap pilihan sementara bagi mereka yang menganggur.

Namun kini ia menjadi simbol krisis pekerjaan di Indonesia apabila 59 peratus pekerja masih terperangkap dalam sektor tidak formal, bekerja dalam tempoh yang panjang dengan pendapatan kecil serta tanpa jaminan masa depan.

Satu kajian disokong Yayasan Gates menganggarkan pemandu penghantaran di Jakarta hanya memperoleh sekitar AS$163 (RM766) sebulan iaitu separuh daripada gaji minimum di bandar raya itu.

Kemarahan mereka berpunca daripada janji-janji yang dianggap dimungkiri oleh setiap pentadbiran.

“Setiap presiden dan naib presiden berjanji mewujudkan pekerjaan, tetapi ia tidak pernah berlaku. Anak muda yang sepatutnya mendapat kerja formal akhirnya terpaksa menjadi pekerja penghantaran, dan nasib mereka terus diabaikan,” tegas Wicaksono. – AGENSI

More From Author

EU cadang gantung perjanjian perdagangan dengan Israel

Khadam buka jalan Aghniny Haque teroka pasaran Malaysia