MCMC, PDRM tumpaskan sindiket SMS scam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram dalam Op Pancing, baru-baru ini.

MCMC memaklumkan, berdasarkan aduan awam dan risikan, seorang individu ditahan semasa mengendalikan peralatan Fake Base Transceiver Station (Fake BTS), di dalam kenderaan yang diletak berhampiran pusat membeli belah utama di Kuala Lumpur.

Jelasnya, pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif.

“Ujian frekuensi mengesahkan peralatan tersebut bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan tersebut.

“Susulan tangkapan itu, pihak MCMC dengan bantuan PDRM telah menyerbu sebuah premis kediaman teres dua tingkat di Kota Kemuning Shah Alam yang dijadikan tempat penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna dan kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siasatan awal turut berjaya mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket, di mana kelengkapan komunikasi Fake BTS tersebut telah diubah suai untuk beroperasi secara mudah alih.

Secara keseluruhannya, 45 barangan telah disita dengan anggaran nilai RM100,000, selain seorang individu turut dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM1,000,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes ini juga disiasat di bawah Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – Majestic

More From Author

5 penuntut IKM maut kereta dirempuh treler

Transaksi lancar, jualan Penghargaan SARA pada hari ke-6 berjumlah RM107.1 juta