LONDON: Liverpool terpaksa mendapatkan kepakaran sains sukan bagi melengkapkan perpindahan rekod Alexander Isak pada hari akhir jendela perpindahan.
The Reds menandatangani penyerang Sweden berusia 25 tahun itu dari Newcastle dengan nilai £130 juta (RM741 juta) selepas kemelut panjang ketika musim panas.
Isak sebelum itu bertindak mogok di timur laut England selepas tawaran awal Liverpool ditolak.
Pengurus Arne Slot akhirnya menarik nafas lega apabila berjaya mendapatkan pemain idamannya pada saat akhir.
Namun, Liverpool berdepan halangan besar untuk memuktamadkan urusan itu.
Rekod kecederaan Isak menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengurusan ketika rundingan berlangsung.
Penyerang itu terlepas 39 perlawanan daripada 114 aksi bersama Toon, kebanyakannya kerana masalah kecederaan pangkal paha.
Malah dia juga direkodkan tidak menghadiri lebih 200 hari latihan di bawah kendalian Eddie Howe.
Menurut Sunday Mirror, Liverpool terpaksa menggunakan khidmat pakar sains sukan untuk menilai tahap kecergasan Isak.
Pengurusan mahu memastikan pelaburan besar itu tidak berisiko menjadikannya ‘penghuni tetap’ bilik rawatan.
Bagaimanapun, pasukan saintis berpuas hati dengan keadaan fizikal Isak dan memberi lampu hijau bagi melakar rekod perpindahan Britain itu.
Malah mereka yakin mampu memperbaiki rekod kecederaan Isak dengan pemantauan rapi serta pelan latihan khusus selepas dia pulang daripada tugasan antarabangsa bersama Sweden. – AGENSI