KUALA LUMPUR: Pelakon Indonesia, Aghniny Haque, akhirnya menjejakkan kaki ke layar perak Malaysia menerusi filem seram terbaharu berjudul Khadam, terbitan Red Communications dan Komet Productions.
Popular dengan naskhah pecah panggung KKN Desa Penari dan Pemandi Jenazah, Aghniny mengakui terpikat dengan kekuatan skrip nukilan Fariza Azlina Isahak yang sarat dengan emosi, selain menyelitkan elemen seram dan mistik.
“Sejak kali pertama membaca skrip, saya benar-benar tersentuh. Jalan ceritanya penuh rasa, menyeramkan tetapi juga emosional. Saya tidak mampu berhenti membaca.
“Saya tahu peluang berlakon di Malaysia ini tidak akan datang selalu, jadi saya terima meskipun dibayangi rasa kurang yakin, terutama bahasa Melayu saya yang belum fasih. Mujur saya disokong pasukan produksi yang sangat baik,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman barisan pelakon Khadam di sini, baru-baru ini.
Dalam Khadam, Aghniny bakal menghidupkan watak utama, Melor, seorang ibu dua anak yang dihantui ketakutan selepas kematian ibunya.
Berbekalkan latar belakang sebagai bekas atlet Taekwondo, dia menyifatkan watak itu sebagai cabaran besar dalam kariernya.
“Saya belum pernah membawa karakter seperti Melor. Cabarannya besar, bebannya juga sama. Saya perlu tampil meyakinkan, bukan sahaja untuk penonton Malaysia tetapi juga Indonesia,” katanya.
Bagi menjayakan penggambaran yang bermula 16 September lalu, Aghniny bakal menetap di Malaysia selama tiga bulan.
Sepanjang berada di sini, Aghniny teruja mengenali budaya Malaysia dan mendekati masyarakat tempatan.
“Saya rasa sangat diterima kerana orang-orang di sini ramah. Saya suka bahasanya, juga makanannya. Saya bangga serta bersyukur dapat terbabit dalam projek ini kerana memang lama saya mengidamkan peluang bekerjasama dengan produksi Malaysia,” katanya.
Khadam, arahan Shamyl Othman, mengisahkan Melor yang terpaksa mewarisi saka keluarga selepas kematian ibunya.
Apabila entiti hitam itu mula menguasai hidupnya, Melor berpacu dengan masa untuk menyelamatkan anak perempuannya daripada menerima pewarisan spiritual gelap itu.
Lebih daripada sekadar filem seram, Khadam menyelami dilema keibuan dan pengorbanan seorang wanita yang berdepan desakan hidup berlandaskan mitos serta budaya Asia Tenggara. – BH